Tuesday, 12 July 2016

ASAL USUL KAJANG

Kajang ialah sebuah mukim dan bandar di daerah Hulu LangatSelangorMalaysia. Mukim ini berada bersebelahan dengan mukim Semenyih, mukim Hulu Langat dan mukim Ampang. Kajang ditadbir di bawah Majlis Perbandaran Kajang.
Kajang terletak lebih kurang 21 km (14 batu) di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungkan melalui jalan raya seperti Lebuhraya Silk dan jalan kereta api. Kajang juga dapat dihubungkan dengan pusat pentadbiran Putrajaya,Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi. Di sebelah baratnya pula terletak Bandar PuchongBatu 3 dan Klang.
Jika dilihat dari sudut topografinya pula, mukim Kajang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit-bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai LangatSungai BangiSungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang.

Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul nama Kajang:Asal usul nama Kajang

  1. Pendapat pertama: Dipercayai Kajang mulanya diterokai oleh orang asli dari suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.
  2. Pendapat kedua: Seorang pembesar di Sungai Ujong bernama Batin Berenggai Besi, pernah mendirikan beberapa pondok di pinggir sungai yang terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang yang dilipat kajang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang yang dilipat kajang.
  3. Pendapat ketiga: Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi orang Mendailing ialah berpondok/berteduh. Manakala bagi orang Bugis 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang, kerana salah faham maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu ke Sungai Langat kerana melarikan diri dari perang saudara yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.
  4. Pendapat keempat: Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.
  5. Pendapat kelima: Raja Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya berhijrah ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.



ASAL USUL SEMENYIH

Pengenalan
Semenyih ialah sebuah bandar di Selangor, Malaysia, kira-kira 8 km ke arah tenggara Kajang di sepanjang jalan Kajang-Seremban. Bandar ini mempunyai nama yang sama dengan Sungai Semenyih iaitu sungai utama yang mengalir berdekatan dengan Pekan Semenyih. 
Asal Usul Nama Semenyih 
Istilah Semenyih ini tidak wujud di dalam mana-mana kamus. Ianya dikatakan istilah yang dicipta oleh masyarakat tempatan  dan dikatakan berkaitan dengan sejarah masa dahulu.
Menurut cerita lisan, istilah ini merupakan dialek orang Negeri Sembilan yang bermaksud ‘sembunyi’. Istilah ini berpunca daripada perintah Engku Husain kepada pengikutnya supaya bersembunyi dari buruan pemerintah Negeri Sembilan. Mengikut sejarah, Semenyih ini asalnya di bawah pemerintahan Negeri Sembilan dan Lukut di bawah pemerintahan negeri Selangor. Semasa zaman Sultan Abdul Samad, Lukut diserahkan kepada Negeri Sembilan dan Semenyih diserahkan kepada Negeri Selangor.
Tempat-Tempat Menarik di Semenyih
Jangan tak tahu, Semenyih ini ada banyak pusat rekreasi dan ianya terkenal  di kalangan penduduk luar.
Antaranya ialah:-

  • Air Terjun Sungai Tekala
  • Air Terjun sungai Batangsi
  • Air Terjun Sungai Gabai
  • Air Terjun Sungai Lalang
  • Empangan Semenyih atau Semenyih Dam
  • Bukit Broga

KELEBIHAN BERSELAWAT

Rasulullah S.A.W telah bersabda bahwa,"Malaikat Jibrail,Mikail,Israfil dan Izrail A.S.telah berkata kepadaku.


Berkata Jibrail A.S.: "Wahai Rasulullah,barang siapa yang membaca selawat ke atasmu tiap-tiap hari sebanyak sepuluh kali,maka akan saya bimbing tangannya dan akan saya bawa dia melintasi titian seperti kilat menyambar."


Berkata pula Mikail A.S.: Mereka yang berselawat ke atas kamu akan aku beri mereka itu minum dari telagamu"


Berkata pula Israfil A.S .: "Mereka yang berselawat kepadamu akan aku sujud kepada Allah S.W.T dan aku tidak akan mengangkat kepalaku sehingga Allah S.W.T mengampuni orang itu."


Malaikat Izrail A.S pula berkata : "Bagi mereka yang berselawat keatasmu,akan aku cabut ruh mereka itu dengan selembut-lembutnya seperti aku mencabut ruh para nabi-nabi."


Apakah kita tidak cinta kepada Rasulullah S.A.W.? Para malaikat memberikan jaminan masing-masing untuk orang-orang ynag berselawat ke atas Rasulullah S.A.W.

Dengan kisah yang dikemukakan ini,kami harap para pembaca tidak akan melepaskan peluang untuk berselawat ke atas junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W Mudah-mudahan kita menjadi orang-orang kesayangan Allah,Rasul dan para malaikat.




Monday, 11 July 2016

11 DOA YANG DIPERCEPATKAN OLEH ALLAH

1. Doa dari para Malaikat.
2. Doa dari para nabi dan rasul.
3. Doa dari raja, pemerintah atau pemimpin yang adil.
4. Doa dari orang yang soleh dan bertaqwa.
5. Doa kedua ibu bapa ke atas anak-anaknya.
6. Doa dari anak yang soleh kepada kedua ibu bapanya.
7. Doa dari orang yang dizalimi atau dianiaya.
8. Doa dari orang yang berpuasa.
9. Doa dari orang tua dan kanak-kanak.
10. Doa dari orang yang sakit dan berada dalam kesusahan.
11. Doa dari orang yang keluar bermusafir pada perkara yang diharuskan oleh syara'.

10 DOSA BESAR : Imam Al Ghazali

1- Syarah At-Ta’am-Suka makan dengan banyak.
2- Syarah Al-Kalam-Suka bercakap banyak tanpa faedah atau sia-sia.
3- Ghadhab-Sangat pemarah dan terlalu cepat naik darah.
4- Hasad-Suka berhasad dengki kepada manusia.
5-Bakhil-Kedekut atau terlalu sayang kepada harta.
6-Hubbu Jah-Terlalu kasih kepada kemewahan dan kebesaran.
7- Hubbud Dunya-Terlalu kasih kepada dunia.
8-Takabbur-Suka membesarkan diri dan menghina manusia.
9-”Ujub-Bangga dengan diri sendiri mengenai kebajikan yang dilakukan.
10- Riyak-Suka menunjuk-nunjuk amal ibadat atau sesuatu kebaikan bertujuan mendapat pujian daripada orang lain bukan kerana Allah SWT.

Kitab Taubat Pasport Ke Syurga. M/S : 56. ( Sedutan daripada Kitab Ihya Ulumuddin 

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2016 DARI PKG BANGI


Sunday, 10 July 2016

MARI SEMAI SIFAT TAWADUK DALAM DIRI

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya.

Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Israa': 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.


Jaga perilaku

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat bimbingan wahyu.

Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera musuh.

Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul yang ulung.

Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.
Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain. Salah satu (hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah).

Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan sifat tawaduk dalam diri masing-masing.