Kajang ialah sebuah mukim dan bandar di daerah Hulu Langat, Selangor, Malaysia. Mukim ini berada bersebelahan dengan mukim Semenyih, mukim Hulu Langat dan mukim Ampang. Kajang ditadbir di bawah Majlis Perbandaran Kajang.
Kajang terletak lebih kurang 21 km (14 batu) di sebelah tenggara Kuala Lumpur. Dari Kuala Lumpur, Kajang dihubungkan melalui jalan raya seperti Lebuhraya Silk dan jalan kereta api. Kajang juga dapat dihubungkan dengan pusat pentadbiran Putrajaya,Cyberjaya dan Bandar Baru Bangi. Di sebelah baratnya pula terletak Bandar Puchong, Batu 3 dan Klang.
Jika dilihat dari sudut topografinya pula, mukim Kajang terletak di kawasan tanah tinggi iaitu lebih kurang 76,250 sm dari paras laut. Kebanyakan permukaan buminya adalah berbukit-bukau dan dipenuhi oleh gunung. Tanah datarnya terdapat di kawasan-kawasan lembangan sungai seperti Sungai Langat, Sungai Bangi, Sungai Semenyih dan Sungai Chua. Kawasan-kawasan inilah yang merupakan tempat-tempat awal yang mula diterokai untuk penempatan di mukim Kajang.
Terdapat beberapa pendapat tentang asal usul nama Kajang:Asal usul nama Kajang
- Pendapat pertama: Dipercayai Kajang mulanya diterokai oleh orang asli dari suku Temuan kira-kira tahun 1580 lagi. Suku inilah yang memberi nama Kajang berdasarkan sejenis mengkuang hutan yang digunakan untuk membuat atap yang tumbuh dengan banyaknya di kawasan itu.
- Pendapat kedua: Seorang pembesar di Sungai Ujong bernama Batin Berenggai Besi, pernah mendirikan beberapa pondok di pinggir sungai yang terletak di kawasan Kajang sekarang dengan menggunakan atap mengkuang yang dilipat kajang. Kemudian, beliau berkesimpulan tempat ini sesuai untuk dijadikan penempatan. Sempena bentuk atap mengkuang yang dilipat kajang.
- Pendapat ketiga: Menurut satu riwayat, maksud perkataan 'berkajang' bagi orang Mendailing ialah berpondok/berteduh. Manakala bagi orang Bugis 'bertikam atau bergaduh'. Kedua-dua puak ini pernah bertikaman di salah sebuah kawasan bukit berhadapan stesen keretapi yang ada sekarang, kerana salah faham maksud perkataan 'berkajang'. Peristiwa ini berlaku semasa kedua-dua golongan ini menghulu ke Sungai Langat kerana melarikan diri dari perang saudara yang berlaku di Kelang di antara tahun 1867 hingga 1873. Setelah peristiwa tersebut, tempat ini diberi nama Kajang.
- Pendapat keempat: Ada sumber lain mengatakan Kajang telah dibuka oleh Encik Lili juga dikenali sebagai Toh Lili yang datang dari Riau pada tahun 1776. Beliau adalah pengikut Sultan Mohamed Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ibrahim Shah yang berasal dari Riau. Dengan kebenaran Sultan, beliau bersama enam orang rakan telah membuka tanah untuk penanaman padi di Bukit Sungai Merbau dan membuka lombong Sungai Merbau yang kini dikenali sebagai Kajang.
- Pendapat kelima: Raja Alang dari suku Mandailing bersama sekumpulan pengikutnya berhijrah ke Tanah Melayu pada awal tahun 1800. Kumpulan ini belayar memasuki Tanah Melayu melalui Kuala Sungai Langat. Setelah beberapa hari berlayar, mereka berteduh atau 'berkajang' disuatu kawasan yang sekarang ini dipanggil Jalan Mandailing. Sebahagian pengikut-pengikut Raja Alam telah menerokai kawasan Kampung Batu 14 sekarang dengan penanaman padi. Penempatan mereka ini akhirnya dimasyhurkan dengan nama Kajang oleh Raja Alam.
No comments:
Post a Comment