Sunday, 10 July 2016

MARI SEMAI SIFAT TAWADUK DALAM DIRI

SESEORANG individu yang beriman pastinya akan memahami tentang tugasnya sebagai khalifah Allah SWT di atas muka bumi. Setiap rezeki yang dikurniakan Allah SWT kepadanya, akan dianggap sebagai amanah yang perlu digunakan untuk kepentingan menjaga agama dan mentadbir dunia dengan agama. Anugerah Allah SWT tersebut hanyalah sementara dan tidak akan kekal selama-lamanya.

Harta yang banyak, pangkat yang tinggi dan rupa paras yang cantik hanyalah diberikan Allah sebagai ujian kepada manusia. Semua kenikmatan ini tidak akan dapat menjadi bekal untuk 'membeli' syurga melainkan sekiranya ia digunakan dengan mengikut landasan yang betul berdasarkan pertimbangan agama.

Orang yang beriman akan menyedari bahawa harta yang ada padanya adalah jauh lebih sedikit berbanding dengan harta yang dimiliki oleh Allah SWT yang menguasai alam semesta ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang. (al-Israa': 37)

Oleh itu, manusia yang beriman pastinya tidak akan merasa sombong dan bongkak di atas segala kurniaan tersebut. Dia tidak akan membangga diri, mendabik dada dengan menyatakan bahawa dia mempunyai kelebihan berbanding orang lain.

Dia tidak akan memandang rendah terhadap orang miskin dan tidak memandang sepi terhadap orang yang lemah. Bahkan, manusia yang beriman akan sentiasa bersyukur dan memohon ampun kerana bimbang pangkat dan harta yang diperoleh itu akan menjadi fitnah kepadanya dan akan menyusahkannya di akhirat kelak.

Masyarakat jahiliah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW adalah antara golongan yang terlalu ego dan sombong. Mereka sanggup menolak ajaran Rasulullah SAW walaupun mengetahui kebenaran yang dibawa oleh Baginda.

Sifat sombong dan ego ini diperangi oleh Nabi SAW sepanjang hayatnya. Namun, apabila Nabi telah wafat dan masa telah berlalu, manusia akhirnya kembali balik kepada perangai jahiliah tersebut.

Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: Allah SWT berfirman: Kemuliaan adalah sarungku dan kesombongan itu adalah selendangku, sesiapa yang mencabut daripadaku salah satu daripada keduanya nescaya Aku akan menyiksanya. (riwayat Muslim).

Segala kepujian dan sifat kebesaran hanya menjadi milik Allah. Oleh itu, Allah memberi peringatan bahawa tiada sesiapapun daripada kalangan makhluk-Nya yang layak memakai mana-mana sifat itu melainkan Dia.
Setiap Muslim hendaklah sentiasa tawaduk (merendah diri), dan bersikap sederhana. Tawaduk bukannya bermaksud berjalan dalam keadaan tunduk dan terbongkok-bongkok seperti yang dilakukan oleh orang yang mengaku soleh dan bertakwa.

Ini adalah kerana Nabi SAW tidak mendidik kita berbuat sedemikian. Bahkan diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib RA bahawa Nabi SAW berjalan seolah-olah seperti meniti jalan menurun. Ini adalah cara berjalan orang yang penuh dengan semangat dan keberanian.

Sombong pula maksudnya menolak kebenaran dan menganggap remeh segala yang lain. Orang yang sombong akan berasa dirinya lebih baik, pintar, kaya dan hebat. Sikap inilah yang wujud dalam diri Firaun, Qarun dan Abu Jahal yang bersikap angkuh sehingga tidak mahu menerima kebenaran.

Orang yang sombong sebenarnya adalah mereka yang terpedaya dengan nikmat sementara yang dikurniakan Allah sehingga lupa kepada nikmat hakiki di akhirat kelak.

Dalam surah Luqman, ayat 18, Allah melarang kita bersikap sombong sebagaimana firman-Nya: Dan janganlah engkau memalingkan muka dari manusia (kerana sombong) dan janganlah engkau berjalan di muka bumi ini dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang sombong lagi membanggakan diri.


Jaga perilaku

Nabi Muhammad SAW adalah orang yang sentiasa menjaga perilakunya agar tidak dianggap sombong dan bongkak oleh masyarakat. Baginda sering meminta pandangan sahabat-sahabat melalui konsep syura sebelum melaksanakan agenda negara dan umat Islam walaupun Baginda akan mendapat bimbingan wahyu.

Sebagai contoh, Baginda pernah meminta pandangan Abu Bakar RA dan Umar RA tentang tawanan perang Badar. Baginda juga menerima pandangan Salman al-Farisi RA dalam mengatur strategi untuk menghadapi tentera Ahzab iaitu dengan menggali parit di sekeliling kota Madinah bagi menyekat kemaraan tentera musuh.

Nabi SAW juga sering dilihat bergaul mesra dengan sahabat-sahabat sehingga sukar untuk membezakan Baginda dan sahabat-sahabat sewaktu mereka bersama. Nah, lihatlah betapa mulianya pekerti Nabi SAW sehingga sanggup berdamping dengan sahabat-sahabat walaupun Baginda adalah Rasul yang ulung.

Dengan adanya sifat tawaduk dalam diri masing-masing, maka akan terpancarlah sahsiah yang sejati dalam diri individu Muslim itu.
Kesimpulannya, untuk menjadi hamba yang dikasihi oleh Allah, individu Muslim itu perlulah menjaga hubungannya dengan individu yang lain. Salah satu (hablumminannas) di samping hubungannya dengan Allah SWT (hablumminallah).

Cara yang perlu dimainkan oleh setiap individu Muslim untuk mengutuhkan hubungannya dengan manusia lain adalah dengan menyemaikan sifat tawaduk dalam diri masing-masing.


No comments:

Post a Comment