Sunday, 10 July 2016

WANITA BOLEH BERSEDEKAH KPD SUAMI, ANAK..

Sebuah halaqah yang dihadiri sahabat wanita, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu semua meskipun dengan sebahagian daripada perhiasan kamu!”

Mendengar pesanan Nabi di atas, Zainab isteri ‘Abdullah bin Mas’ud, segera pulang ke rumah dan menemui suaminya.


Dia berkata, “Suamiku, engkau adalah orang yang miskin. Nabi memerintahkan kepada kami supaya bersedekah. Disebabkan itu, pergilah berjumpa dengan baginda dan tanyakanlah, adakah aku boleh bersedekah kepadamu. Sekiranya boleh, aku akan bersedekah kepadamu! Sekiranya tidak dibenarkan, aku akan bersedekah kepada orang lain.” 


Mendengar permintaan isterinya, ‘Abdullah bin Mas’ud berkata: “Engkau sahajalah yang menemui baginda.”

Zainab akhirnya pergi ke rumah Nabi. Tiba-tiba, dia mendapati seorang wanita daripada kalangan Ansar berada di depan pintu rumah Nabi dan mempunyai masalah yang sama dengannya. Sementara itu, Rasulullah adalah seorang yang telah dianugerahkan kemuliaan. Mereka pun akhirnya menunggu di depan pintu rumah baginda.

Tidak lama kemudian, Bilal keluar dari rumah Nabi. Dengan pantas Zainab dan wanita Ansar itu berkata: “Wahai Bilal, jumpalah Nabi dan beritahu kepada baginda bahawa ada dua orang wanita di depan rumah baginda yang ingin bertanya tentang sesuatu: adakah kami boleh bersedekah kepada suami ataupun anak-anak yatim yang kami asuh? Tetapi, jangan beritahu siapa kami!”

Bilal segera menemui Rasulullah dan menyampaikan pertanyaan kedua-dua wanita itu. Rasulullah bertanya, “Siapakah mereka? Bilal menjawab: Mereka adalah Zainab dan seorang wanita dari kalangan Ansar. Rasulullah bertanya: “Zainab yang mana? Bilal menjawab: Isteri ‘Abdullah bin Mas’ud. Rasulullah bersabda: Mereka dapat dua pahala, iaitu pahala kaum kerabat dan pahala bersedekah.” (Hadis ini direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Penulis kitab ‘Umdah al-Qari fi Syarh al-Bukhari membincangkan hadis ini dan mengatakan terdapat beberapa perkara yang dapat disimpulkan daripadanya.

Anjuran supaya memberi nasihat dan peringatan kepada wanita mengenai akhirat dan hukum berkenaan dengan mereka, serta dorongan supaya selalu bersedekah. Semua itu dilakukan selagi tidak mendatangkan fitnah, sama ada untuk orang yang dinasihati mahupun pemberi nasihat.

Isteri boleh bersedekah dengan harta miliknya tanpa keizinan suami. Bersedekah sunat tidak diperlukan ijab dan qabul, tetapi cukup dengan adanya sesuatu yang disedekahkan.

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan beberapa perkara iaitu keutamaan bersedekah kepada suami dan anak-anak yang termasuk dalam kelompok yang berhak menerima zakat. Ini kerana memenuhi keperluan mereka adalah kewajipan ibu bapa.

Segera mengamalkan pengetahuan agama yang telah diketahui. Kewajipan mencari ilmu bagi wanita seperti lelaki. Dalam aspek mencari ilmu, seperti dinyatakan dalam hadis ini, wanita boleh keluar rumah untuk bertanya pelbagai masalah agama seperti mana kaum lelaki.


KEJAHATAN ITU BUKAN SATU KEBETULAN...

Kejahatan itu bukan satu kebetulan. Ia adalah satu kebiasaan yang terbentuk perlahan-lahan, tahap demi tahap. Pertama kali terbuat dosa, hati akan diburu rasa bersalah.

Jiwa resah kerana diri menentang fitrah. Kesalnya bukan main. Sesalnya sungguh merimaskan. Rasa bersalah itu memang resah. Benarlah seperti yang sering diungkapkan, bila manusia berdosa dia bukan sahaja nenentang Allah tetapi juga menentang dirinya sendiri.

Namun rasa berdosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya... rasa bersalah itu akan hilang. Sedikit demi sedikit. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan... tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

Dosa itu racun yang disalut kemanisan. Dosa yang dilazimi tidak akan terhenti kesannya pada hati. Dari tahap terbiasa dengan dosa, kederhakaan meningkat lebih parah lagi. Tibalah hati pada tahap ketiga, yakni seronok dan rasa indah dengan dosa. Diri sentiasa mengintai peluang dan ruang untuk melakukannya. Rasa ketagih dengan maksiat, rasa gian dengan kemungkaran, mencengkam hati dan diri. Racun dosa terasa nikmatnya. Tiada lagi rasa bersalah. Bisa dosa yang terbiasa menjelma menjadi fatamorgana nikmat yang tiada taranya.

Nafsu tidak pernah puas. Kehendaknya tiada batas. Syaitan tidak pernah tidur. Usahanya tidak pernah kendur. Lalu apabila syaitan meluncur laju di lebuhraya nafsu, diri yang seronok dengan dosa itu dirasuk untuk 'maju' setapak lagi. Itulah tahap keempat yang lebih dahsyat dan sesat. Keseronokan dosa menjadi si berdosa itu menjadi pembela dan pejuangnya. Dosa dipromosi dan dihiasi sebagai jalan kebenaran dan denai keindahan. Jangan ada pembela agama yang bercakap tentang akhirat dan kiamat... pejuang dosa itu pun bangun menentangnya dengan seluruh upaya dan kudrat.

Justeru wahai diri, berhati-hatilah dengan dosa. Jangan tertipu oleh kecil atau remehnya suatu kederhakaan. Ingat, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam. Keterlanjuran kali pertama jangan disusuli oleh kesengajaan kali kedua. Kelak akan menyusul perancangan dan perjuangan atas nama dosa.

Wahai diri... ketika rasa bersalah singgah di dalam hati pada kali pertama kau berdosa, ketahuilah itu adalah 'peringatan' yang Allah bekalkan secara tabii untuk menjaga fitrah insani. Itu petanda yang hatimu masih hidup. Penyesalan itukan syarat taubat? Maka susulilah dengan syarat kedua dan ketiga (jika dosa itu dengan Allah). Jika dosa itu dengan manusia, tambahlah lagi dengan syarat yang keempat. Tidak mengapa jika kau terlanjur lagi berdosa selepas itu. Bertaubatlah kembali. Hatimu akan hidup lagi. Selagi ada rasa bersalah, selagi itulah ada sarana untuk kembali kepada Allah. Jangan putus asa oleh taubat yang patah, kerana kasih-sayang Allah akan menumbuhkan taubat kali kedua, ketiga dan seterusnya.

Wahai diri, biarlah dirimu jatuh bangun, merangkak tegak, dalam taubat demi taubat yang tidak 'menjadi' berbanding larian dosa yang maju dan laju tanpa henti-henti. Lebih baik terbentur, daripada patah. Lebih baik hatimu selalu terdera oleh rasa berdosa sepanjang hayat, daripada tertipu oleh 'nikmatnya' yang menyebabkan siksa selamanya di akhirat.

Wahai diri, ingatlah... sekalipun kau terhijab daripada mengecapi nikmat ketaatan, tapi jangan sampai kau tertipu oleh nikmat kejahatan. Berhati-hatilah menjaga hati. Tidak mengapa kau selalu menangis kerana dosa... tetapi jangan sampai kau tersenyum kerananya! Ingatlah selalu, kejahatan yang menyebabkan kau menangis, lebih baik daripada kebaikan yang menimbulkan rasa takbur!



MENGAPA HAWA TERCIPTA DI SAAT ADAM TERTIDUR...

Seorang laki-laki jika dia kesakitan, maka dia akan membenci. Sebaliknya wanita, saat dia kesakitan, maka semakin bertambah sayang dan cintanya,, Seandainya Hawa diciptakan dari Adam As saat Adam terjaga, pastilah Adam akan merasakan sakit keluarnya Hawa dari sulbinya, hingga dia membenci Hawa. Akan tetapi Hawa diciptakan dari Adam saat dia tertidur, agar Adam tidak merasakan sakit dan tidak membenci Hawa. Sementara seorang wanita akan melahirkan dalam keadaan terjaga, melihat kematian dihadapannya, namun semakin sayang dan cintanya kepada anak yang dilahirkan bahkan ia akan menebusnya dengan kehidupannya.
 Sesungguhnya Allah menciptakan Hawa dari tulang rusuk yang bengkok yang tugasnya adalah melindungi Qalbu(jantung, hati nurani). Oleh karena itu, tugas Hawa adalah menjaga qalbu. Kemudian Allah menjadikannya bengkok untuk melindungi qalbu dari sisi yang kedua. Sementara Adam diciptakan dari tanah, dia akan menjadi petani, tukang batu, tukang besi, dan tukang kayu. Wanita selalu berinteraksi dengan perasaaan, dengan hati, dan wanita akan menjadi seorang ibu yang penuh kasih sayang, seorang saudari yang penyayang, seorang putri yang manja, dan seorang istri yang penurut.
 Dan wajib bagi Adam untuk tidak berusaha meluruskan tulang yang bengkok tersebut, seperti yang dikabarkan oleh Nabi Muhammad SAW, “jika seorang lelaki meluruskan yang bengkok tersebut dengan serta merta, maka dia akan mematahkannya.” Maksudnya adalah dengan kebengkokan tersebut adalah perasaan yang ada pada diri seorang wanita yang mengalahkan perasaan seorang laki-laki.
 Maka wahai Adam janganlah merendahkan perasaan Hawa, dia memang diciptakan seperti itu. Apabila seseorang wanita mengatakan dia sedang bersedih, tetapi dia tidak menitikkan airmata, itu berarti dia sedang menangis di dalam hatinya. Apabila dia tidak menghiraukan kamu setelah kamu menyakiti hatinya, lebih baik beri dia waktu untuk menenangkan hatinya sebelum kamu meminta maaf. Dan wanita sulit untuk mencari sesuatu yang dia benci untuk orang yang paling dia sayang.

Mari lah kita renung2kan...

ROMANTIK ITU SUNNAH RASULALLAH SAW


Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati. Mungkin yang diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan suami isteri.. Apa lagi…Jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin .
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “ Dan sesungguhnya kamu benar-benar berbudi pekerti yang agung”.

Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menmpatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan, pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa  Aisyah berkata bahawa :  “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air yang disebut al-faraq.”  Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay sehinggakan Nabi SAW berkata  “Jangan terburu-buru hingga aku mengiringimu (menemani sampai ke pintu)” . Hadis Bukhari dan Muslim. Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “ Nabi Muhammad SAW duduk di sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas unta”.  Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi. Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya. Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa  “Rasulullah apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan berbincang-bincang dengannya”.  Malah apabila baginda ingin keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama. Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri, disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut isterimu.”  Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah, namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan. Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan. Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa  “ Rasulullah tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara bergantian”.  Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa  “Nabi SAW membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku sedangkan aku dalam keadaan haid”.  Bahkan amalan ini berlarutan sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata  “ Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa :  “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”.  (Bukhari dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan dari Aisyah bahawa :  Nabi Muhammad SAW adalah orang yang penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling banyak menemani ketika isterinya sakit.”  (Bukhari dan Muslim) Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak berselera. Lalu Aisyah berkata :  “(Demi Allah), makanlah atau aku akan mengotori wajahmu”.  Saodah menolak dengan berkata :  Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah. Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e, Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya. Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim. Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.

Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa, namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.

DARI ALLAH DATANG SEMUANYA..

Wang syiling jatuh di hadapan seorang lelaki yg sedang asyik membancuh simen. Melihat logam kecil itu,tangan lelaki itu terhenti melakukan kerja. Tidak menunggu lama,tangannya segera mengutip syiling itu dan dimasukkan ke dalam poketnya.
Dia menyambung semula kerjanya.
Sekali lagi lelaki itu terpandang duit syiling tidak jauh dari sisinya.Lelaki itu menoleh ke kiri,kanan dan disekelilingnya.Tiada siapa yg berdekatan dengannya. Sekali lagi dia terus mengambil syiling itu dan menyimpan dalam koceknya.
Tidak lama kemudian,lelaki itu ternampak lagi duit syiling berdekatan dengannya. Pun sama,dia mengambil dan menyimpannya.
“Rezeki aku!” kata lelaki itu dalam hati.
Lelaki itu tidak sedar,logam syiling itu sebenarnya dicampakkan oleh ketuanya daripada aras lapan bangunan separuh siap yg mereka bina itu.
Sebenarnya ,ketuanya mahu memanggilnya.Ada pesanan yg mahu disampaikan ketuanya itu.Puas ketuanya menjerit daripada aras lapan,cuba memanggil lelaki itu yg berada pada aras paling bawah.
Namun,jeritan itu tidak mampu mengalahkan pelbagai bunyian mesin pembinaan di kawasan tersebut.Dek kerana itulah,ketuanya itu mencampakkan syilingnya dengan harapan lelaki itu akan mendongak melihatnya di atas.Mudah-mudahan,dapatlah dia menyampaikan pesananya kepada pekerjanya itu.
Sayangnya,sehingga habis wang syilingnya dibaling ke bawah,lelaki itu masih belum juga mendongak ke atas.
Lantas,ketuanya itu mengumpulkan serpihan batu kecil yg terdapat di lantai.Satu persatu batu kecil itu dibaling ke bawah.
Beberapa kali batu itu mengenai badan lelaki itu.Setelah merasa sakit dan terganggu,lelaki itu mendongak ke atas,melihat dari mana datangnya batu-batu kecil yg menyerangnya tadi.
Barulah dia ternampak kelibat ketuanya yg sejak tadi cuba mencuri perhatiannya bagi menyampaikan pesanan.



P/s : Sahabat sekalian,kisah ini sekadar tamsilan antara kita dengan Yang Maha Pencipta.Tanpa sedar,Allah sering menjatuhkan ‘syiling’ lambang rezeki,rahmat atau kesenangan yg tidak terkira banyak kepada kita.
Tuhan menjatuhkan ‘syiling’ itu sebagai satu panggilan agar kita sentiasa mendongak ke atas untuk mengingati dan bersyukur dengan kurniaan-Nya.Tetapi,kita acap kali lalai untuk ‘mendongak’ ke atas sebaliknya terus menikmati pemberian-Nya tanpa mengucapkan terima kasih.
Seperti kisah ketua dan pekerja tadi,apabila jatuhan syiling tidak berjaya menarik perhatian,lalu Dia jatuhkan pula ‘batu’ yg berupa musibah,kegagalan,keperitan dan pengalaman yg menyakitkan.
Dan hanya setelah kita merasa kesakitan itu,barulah kita teringat untuk mendongak,menadah tangan bersyukur mengingati Yang Maha Pencipta kita.



PENGGUNAAN PERKATAAN MasyaAllah, Astaghfirullahhal’azim, SubhanAllah dan Nauzubillah"

Penggunaan perkataan MasyaAllah, Astaghfirullahhal’azim, SubhanAllah dan Nauzubillah", sering diletakkan salah pada tempatnya, terutamanya di dalam cerita-cerita/drama-drama di dalam TV dan juga di dalam kehidupan seharian.

Selalunya kita akan mendengar ungkapan sebagaimana berikut jika kita rasa terkejut bila mendengar atau melihat sesuatu yang negatif, contohnya bila kita dengar orang yang buat maksiat

"Masya Allah, kau berjudi?"

atau juga bila kita dengar cerita seseorang yang menzalimi ibu bapa, anak, isteri dan sebagainya

"Masya Allah, anak apa kau ni, buat begitu kat mak ayah kau"

Begitu juga dengan kalimah "Subhanallah." Biasanya jika berlaku perkara yang difikirkan ajaib, takjub dan indah, ungkapan "Subhanallah" akan keluar. Contohnya jika kita dengar orang dapat 20 A1 dalam SPM.

"Subhanallah, hebatnya budak tu.."

Begitulah kita, jika kita mendengar sesuatu yang baik, pasti kita akan sebut "Subhanallah" dan jika kita mendengar sesuatu yang buruk atau negatif , kita akan ungkap "MasyaAllah"

Mari kita memahami maksud-maksud ayat di bawah:

» MasyaAllah – Allah Maha Agung
» Astaghfirullahhal’azim – Aku memohon keampunan Allah
» SubhanAllah – Maha Suci Allah
» Nauzubillah – Kami memohon perlindungan Allah
>>Innalillah wa inna ilaihi raaji’uun - 

Jadi penggunaan “MasyaAllah” ketika berhadapan dengan situasi yang tidak elok adalah salah dan tidak diajarkan. Yang patut kita lafazkan pada situasi kurang elok ialah “Astagfirrullahhalazim” (Aku memohon keampunan Allah) ataupun “Innalillah” (Kepada Allah kita kembali) ataupun “Nauzubillah”(Kami memohon perlindungan Allah).


Kebanyakkannya menggunakan “MasyaAllah” ketika terlihat perkara-perkara maksiat terutamanya wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ini banyak berlaku di dalam TV. Sepatutnya, kita beristighfar (memohon keampunan Allah) apabila melihat perkara-perkara yang di tegah Allah.
Ungkapan "MashaAllah" sepatutnya digunakan untuk perkara yang menggambarkan keindahan, ketakjuban yang positif terhadap sesuatu perkara. Sebagai contoh, kejayaan seseorang dalam pelajarannya atau bidangnya perlu kita sebut

"MasyaAllah, hebatnya dia dapat 20 A1 dalam SPM"
"MasyaAllah, dia dapat cipta enjin solar berkelajuan tinggi"
"MasyaAllah, cantiknya baju awak"

Dalam masa yang sama, penggunaan kalimah ini boleh menghindari seseorang mendapat penyakit "ain" atau sumpahan mata . Oleh itu tidak hairanlah jika kita dapati di kebanyakan negara Arab, Pakistan dan Iran , mereka akan melakarkan perkataan "MasyaAllah" jika mereka sedang dalam proses pembinaan bangunan dan kalimah itu kekal sehinggalah bangunan siap dibina.

Jika diteliti dan dikaji, perkataan (ungkapan zikir) yang kita gunakan (praktik) ketika berhadapan dengan situasi di atas menjadi terbalik dan amat berbeza dengan apa yang diajar oleh Islam.

Manakala penggunaan kalimah SubhanAllah pula biasa digunakan oleh baginda SAW dalam perkara yang dianggap pelik atau hairan pada perbuatan yang kurang tepat. Sebagai contoh dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Tirmizi, dari Abu Hurairah ra mafhumnya

"Suatu hari aku berjunub dan ternampak Rasulullah SAW berjalan bersama para sahabat, lantas aku menjauhi mereka dan pulang untuk mandi junub, setelah itu aku datang menemui Rasulullah SAW. Baginda bersabda: Wahai Abu Hurairah, mengapakah engkau melarikan diri tatkala ternampak kami? Aku menjawab: Wahai Rasulullah , aku kotor (berjunub) dan aku tidak selesa untuk bertemu kalian. Rasulullah SAW bersabda: Subhanallah!! sesungguhnya mukmin tidak najis"

Lihatlah bagaimana ungkapan Nabi tika mendengar kata-kata Abu Hurairah . Baginda tersentak dengan fahaman Abu Hurairah yang kurang tepat. Oleh itu, sepatutnya jika berlaku atau terdengar sesuatu yang negatif , kita ungkapkan "Subhanallah", contohnya

"Subhanallah, awak belum solat lagi?"

"Subhanallah, kenapa boleh jadi macam tu?"

Mungkin kita tertanya-tanya, bagaimana pula ayat Al-Quran yang menggunakan kalimah "Subhanallah" ketika membicarakan soal penciptaan langit dan bumi serta seisinya yang cukup mengagumkan?

Jawapannya ialah kerana ketakjuban kita dan keindahan yang memukau itu menyebabkan minda kita melayang-layang yang memudahkan syaitan menusuk 'jarumnya' untuk membayangkan zat Allah, lantas kita perlu sucikan Allah dari segala bentuk bayangan minda yang khilaf/salah. Juga untuk memasakkan dalam jiwa kita sekalipun kita takjub pada alam, Allah yang lebih layak untuk kita kagumi.

EMPAT PERKARA


Allah berikan nyawa... lantas Allah catatkan untuk kita empat perkara. 

Rezeki, Jodoh, Nasib (baik buruknya) dan Ajalnya.

Ada rezeki yang melimpah, ada rezeki yang payah.. Ada jodoh yang cepat, ada pula jodohnya yang lambat. Ada yang bahagia dan ada juga yang sengsara. 

Walau apa jua taqdir buat kita, usah disalahkan taqdir yang tersedia. Terimalah dengan hati yang tabah dan penuh redha. Semoga apabila datangnya ajal, Allah juga REDHA bertemu dengan kita...

"Pada hari itu harta dan anak-anak tidak berguna, kecuali mereka yang datang kepada Allah dengan hati yang sejahtera." (Surah As-syu'ara ayat 88-89)

Antara ciri-ciri hati yang sejahtera;

1. Sentiasa mengingati Allah swt dalam apa jua keadaan, ketika berdiri, duduk mahupun ketika berbaring, lidahnya sentiasa basah mengingati Allah swt.

2. Sentiasa membaca al-Quran dan mentadabburkan makna-maknanya.

3. Sentiasa peka dengan kewajipan-kewajipan yang ditaklifkan serta menunaikannya dengan cara yang paling sempurna.

4. Sentiasa berhati-hati terhadap larangan-larangan agama dan menjauhkannya.

5. Sentiasa bermuhasabah diri dan segera bertaubat kepada Allah swt. Berperibadi dengan akhlak yang mulia.

6. Sentiasa berbaik sangka dan menjauhkan dari berburuk sangka, hasad dengki dan semua sifat-sifat mazmumah dalam hati.

7. Sentiasa bersyukur kepada Allah swt dan redha dengan ketetapan Ilahi.