Sunday, 10 July 2016

WANITA BOLEH BERSEDEKAH KPD SUAMI, ANAK..

Sebuah halaqah yang dihadiri sahabat wanita, Rasulullah SAW bersabda: “Wahai kaum wanita, bersedekahlah kamu semua meskipun dengan sebahagian daripada perhiasan kamu!”

Mendengar pesanan Nabi di atas, Zainab isteri ‘Abdullah bin Mas’ud, segera pulang ke rumah dan menemui suaminya.


Dia berkata, “Suamiku, engkau adalah orang yang miskin. Nabi memerintahkan kepada kami supaya bersedekah. Disebabkan itu, pergilah berjumpa dengan baginda dan tanyakanlah, adakah aku boleh bersedekah kepadamu. Sekiranya boleh, aku akan bersedekah kepadamu! Sekiranya tidak dibenarkan, aku akan bersedekah kepada orang lain.” 


Mendengar permintaan isterinya, ‘Abdullah bin Mas’ud berkata: “Engkau sahajalah yang menemui baginda.”

Zainab akhirnya pergi ke rumah Nabi. Tiba-tiba, dia mendapati seorang wanita daripada kalangan Ansar berada di depan pintu rumah Nabi dan mempunyai masalah yang sama dengannya. Sementara itu, Rasulullah adalah seorang yang telah dianugerahkan kemuliaan. Mereka pun akhirnya menunggu di depan pintu rumah baginda.

Tidak lama kemudian, Bilal keluar dari rumah Nabi. Dengan pantas Zainab dan wanita Ansar itu berkata: “Wahai Bilal, jumpalah Nabi dan beritahu kepada baginda bahawa ada dua orang wanita di depan rumah baginda yang ingin bertanya tentang sesuatu: adakah kami boleh bersedekah kepada suami ataupun anak-anak yatim yang kami asuh? Tetapi, jangan beritahu siapa kami!”

Bilal segera menemui Rasulullah dan menyampaikan pertanyaan kedua-dua wanita itu. Rasulullah bertanya, “Siapakah mereka? Bilal menjawab: Mereka adalah Zainab dan seorang wanita dari kalangan Ansar. Rasulullah bertanya: “Zainab yang mana? Bilal menjawab: Isteri ‘Abdullah bin Mas’ud. Rasulullah bersabda: Mereka dapat dua pahala, iaitu pahala kaum kerabat dan pahala bersedekah.” (Hadis ini direkodkan oleh al-Bukhari dan Muslim)
Penulis kitab ‘Umdah al-Qari fi Syarh al-Bukhari membincangkan hadis ini dan mengatakan terdapat beberapa perkara yang dapat disimpulkan daripadanya.

Anjuran supaya memberi nasihat dan peringatan kepada wanita mengenai akhirat dan hukum berkenaan dengan mereka, serta dorongan supaya selalu bersedekah. Semua itu dilakukan selagi tidak mendatangkan fitnah, sama ada untuk orang yang dinasihati mahupun pemberi nasihat.

Isteri boleh bersedekah dengan harta miliknya tanpa keizinan suami. Bersedekah sunat tidak diperlukan ijab dan qabul, tetapi cukup dengan adanya sesuatu yang disedekahkan.

Selain itu, hadis ini juga menunjukkan beberapa perkara iaitu keutamaan bersedekah kepada suami dan anak-anak yang termasuk dalam kelompok yang berhak menerima zakat. Ini kerana memenuhi keperluan mereka adalah kewajipan ibu bapa.

Segera mengamalkan pengetahuan agama yang telah diketahui. Kewajipan mencari ilmu bagi wanita seperti lelaki. Dalam aspek mencari ilmu, seperti dinyatakan dalam hadis ini, wanita boleh keluar rumah untuk bertanya pelbagai masalah agama seperti mana kaum lelaki.


No comments:

Post a Comment