Sebut saja romantik, anak muda mula tertarik hati. Mungkin yang
diketahui romantik sesama ‘couple’…No..No..No..ini romantik sesama pasangan
suami isteri.. Apa lagi…Jom ramai-ramai kita pakat kahwin. Isy..Isy..best oo
kahwin…kalau tak percaya..cubalah kahwin .
Rasulullah SAW adalah gedung segala sifat-sifat kesempurnaan yang
sukar dicari tandingannya. Allah membimbing baginda dengan didikan-Nya yang
terbaik. Sehingga Allah berfirman kepada baginda seraya memuji baginda di dalam
surah al-Qalam ayat 4 bermaksud : “ Dan sesungguhnya kamu benar-benar
berbudi pekerti yang agung”.
Sifat-sifat yang sempurna inlah yang membuat jiwa manusia merasa dekat dengan Rasulullah SAW. Membuatkan hati mereka mencintai baginda. Menmpatkan baginda sebagai tumpuan hati. Bahkan berapa ramai yang dahulunya bersikap keras dengan Nabi SAW berubah menjadi lembut dan akhirnya masuk Islam setelah terpanah kemuliaan akhlak dan budinya baginda Nabi SAW.
Kemuliaan ini bukan sekadar lakonan di hadapan manusia. Namun
dibuktikan oleh insan pendamping baginda. Meneliti satu persatu perbuatan,
pertuturan dan lenggok gayanya. Mereka ialah serikandi rumahtangga baginda Nabi
SAW. Sehinggakan kemuliaan akhlak seorang suami bernama Muhammad bin Abdullah
tidak dapat digambarkan oleh Aisyah RA, lalu menisbahkan akhlaknya dengan
akhlak kitab suci al-Quran.
Walaupun Rasulullah seorang panglima perang, pemimpin tertinggi
umat Islam, namun di sisinya terdapat nilai kasih sayang dan jalan kisah yang
cukup romantis antara baginda dan isteri-isterinya. Namun berapa banyak sunnah
ini dilupakan lalu suami masakini menggambarkan dirinya bagaikan pemegang kuasa
keluarga yang perlu sentiasa kelihatan bengis dan penuh egois.
Siapalah kita berbanding Rasulullah SAW yang jauh kedudukannya
lebih mulia dari segala manusia. Namun atas tawaduk dan romantisnya baginda
membuatkan umat yang membaca kisah cinta baginda bersama isterinya seolah
sedang menghayati novel cinta romantik.
Diberitakan bahawa Rasulullah pernah bermandi air cinta bersama
isterinya. Dalam Sahih Bukhari diriwayatkan bahawa Aisyah berkata bahawa
: “Aku sering mandi bersama Nabi Muhammad dari satu bekas air
yang disebut al-faraq.” Perbuatan Nabi mandi bersama Aisyah
tanpa sebarang tabir penghalang menunjukkan ianya satu sunnah. Terutamanya
setelah melakukan hubungan intim sesama pasangan.
Romantik gaya Rasulullah SAW boleh diteladani. Walaupun hidup
suami isteri masa kini sentiasa disibukkan dengan pekerjaan. Kita juga boleh
mengambil sunnah-sunnah romantik Rasulullah SAW bermula dari sebelum keluar
bekerja.
Sebagai contoh menghantar isteri ketika hendak keluar rumah
seperti yang dilakukan oleh Nabi SAW kepada isterinya Shafiyyah binti Huyay
sehinggakan Nabi SAW berkata “Jangan terburu-buru hingga aku
mengiringimu (menemani sampai ke pintu)” . Hadis Bukhari dan Muslim.
Bahkan Nabi SAW turut membantu isterinya menaiki kenderaan. Di dalam Sahih
Bukhari dan Muslim menceritakan bahawa “ Nabi Muhammad SAW duduk di
sisi unta baginda. Kemudian baginda menekukkan lututnya. Lalu isteri baginda
Shafiyyah meletakkan kakinya di atas lutut Nabi Muhammad SAW hingga naik atas
unta”. Bukankah ini sesuai dipraktikkan dengan membuka pintu
kepada isteri seperti zaman memikat isteri dahulu. Ataupun sekali sekala
membonceng isteri di belakang seperti dalam riwayat Bukhari yang menyatakan
Anas bin Malik menceritakan bahawa ketika pulang dari perang Khaibar salah
seorang isteri Rasulullah membonceng di belakangnya.
Apabila waktu cuti hujung minggu atau di malam hari, bawalah
isteri bersiar-siar. Ini bukanlah sekadar tips dari seorang pakar motivasi.
Namun ianya merupakan suatu sunnah romantis Nabi SAW bersama isterinya.
Diberitakan dalam Sahih Bukhari dan Muslim bahawa “Rasulullah
apabila datang waktu malam, baginda berjalan bersama Aisyah dan
berbincang-bincang dengannya”. Malah apabila baginda ingin
keluar baginda akan mengundi siapa yang akan menemaninya untuk keluar bersama.
Malah Rasulullah juga membawa Aisyah untuk makan bersama di luar. Sehinggakan
suatu ketika Nabi pernah menolak pelawaan jirannya yang berbangsa Parsi untuk
makan di rumah mereka sekiranya isterinya Aisyah RA tidak turut diundang
bersama. (Hadis riwayat Muslim) Untuk menambahkan romantis terhadap isteri,
disarankan suami menyuap sendiri makanan ke mulut isterinya. Sepertimana dalam
sahih Bukhari dan Muslim sabda Nabi SAW : “Sesungguhnya apapun yang kamu
nafkahkan, maka hal itu adalah sedekah hingga suapan yang kamu suapkan ke mulut
isterimu.” Walaupun hadis ini berkisar tentang pemberian nafkah,
namun bukankah menjalin ikatan romantik antara suami isteri itu satu tuntutan.
Romantik sesama suami isteri ini semakin malu untuk diamalkan.
Mungkin bagi yang sudah lama berkahwin akan bertambah rasa jelik bermadu kasih
dengan isterinya. Namun jika diteliti, sebenarnya sikap romantis ini adalah
datang dari Nabi SAW. Sayang apabila kita lebih malu mengamalkan sunnah
romantis sesudah berkahwin sedangkan kita tanpa segan silu melakukannya sebelum
ianya dihalalkan.
Sebenarnya, gambaran seorang suami yang garang dan bengis bukanlah
suatu yang datangnya dari agama. Nabi SAW tidak mendidik para isteri untuk
takut kepadanya. Namun didikan sebagai pemimpin rumahtangga yang hebat
membuatkan rasa takut itu bertukar menjadi lebih menghormati. Nikmat suasana
percintaan itu lebih dihargai apabila suami turut meluang masa bergurau senda
dan bermesra seakan-akan baru sehari diijabkabulkan.
Belaian terhadap isteri dapat memupuk kasih antara sesama pasangan.
Nabi SAW dalam satu riwayat Ahmad berkata bahawa “ Rasulullah
tidaklah setiap hari melainkan baginda selalu mengunjungi isteri-isterinya
seorang demi seorang. Rasulullah menghampiri dan membelai mereka secara
bergantian”. Adakalanya romantisnya Nabi SAW sehinggakan beliau
sengaja bermanja dengan menyandarkan kepalanya kepangkuan isterinya sepertimana
yang dipertuturkan Aisyah RA dalam Sahih Bukhari bahawa “Nabi SAW
membaca al-Quran (mengulang hafalan) dan kepalanya berada di pangkuanku
sedangkan aku dalam keadaan haid”. Bahkan amalan ini berlarutan
sehingga detik-detik akhir hayat Rasulullah SAW. Aisyah berkata “
Ketika maut menghampiri Rasulullah SAW, kepala baginda berada diatas
pahaku.” Ada suatu hari ketika Aisyah sedang asyik menyaksikan kanak-kanak
bermain bersama ibu mereka, datang baginda Nabi SAW mengangkat Aisyah. Lalu
baginda mendukung Aisyah di belakang beliau. Aisyah menuturkan bahawa
: “Baginda mendirikanku di belakang dan pipiku di atas pipi
baginda. Ku letakkan bahuku di atas bahu Rasulullah SAW”. (Bukhari
dan Muslim). Begitu juga isteri Nabi SAW sentiasa mendapat kucupan mesra
daripada Nabi SAW ketika ingin pergi ke masjid.
Rasulullah bukan seorang yang kaku dan keras. Ia juga seorang
manusia yang mempunyai emosi tersendiri. Pemergian baginda telah membuatkan
kehangatan rasa rindu di kalangan isterinya. Dikala isteri kesunyian, hadirnya
mengungkap keriangan. Sewaktu isteri dalam kedukaan, baginda bukanlah sekadar
pemerhati. Namun baginda juga sebagai ubat kedukaan dan kesakitan. Diriwayatkan
dari Aisyah bahawa : Nabi Muhammad SAW adalah orang yang
penyayang lagi lembut. Baginda akan menjadi orang yang sangat lembut dan paling
banyak menemani ketika isterinya sakit.” (Bukhari dan Muslim)
Hadirnya Nabi SAW mengubat hati para isteri.
Baginda paling banyak bergurau senda bersama isterinya. Suatu hari
datang Saodah (salah seorang isteri Nabi SAW) kerumah Aisyah. Lalu Nabi SAW
duduk diantara Aisyah dan Saodah dan meletakkan kaki beliau diatas pangkuan
mereka. Ketika Aisyah menjemput Saodah makan, ia menolaknya kerana tidak
berselera. Lalu Aisyah berkata : “(Demi Allah), makanlah atau aku
akan mengotori wajahmu”. Saodah menolak dengan berkata
: Aku tidak akan memakannya”. Lalu Aisyah mengambil
makanan dan disapukan ke wajah Saodah. Rasulullah SAW tertawa. Kemudian
Rasulullah menyuruh Saodah membalas semula dengan mengotori wajah Aisyah.
Setelah Saodah mengotori wajah Aisyah, Rasulullah terus tertawa. (an-Nasai’e,
Ibn Abi Dunya) Kisah ini merupakan senda gurau Nabi SAW bersama isteri-isterinya.
Pernah juga Rasulullah memujuk Aisyah untuk menghilangkan marahnya dengan
sengaja memegang hidung Aisyah seperti dalam riwayat Ibnu Sunni.
Begitu romantisnya rumahtangga Rasulullah SAW. Mungkin inilah
rahsia cinta sejati yang kekal ke akhir hayat Nabi SAW. Beramah mesra, bergurau
senda, belaian dan sentuhan. Sehinggalah ayat-ayat cinta terukir dari bibir
seorang Nabi dengan memanggil panggilan manja terhadap isterinya. Suara indah
memanggil “Ya Humaira” kepada Aisyah yang bermaksud “Wahai si putih
kemerah-merahan atau Mawar merah”. Membuatkan ikatan itu lebih intim.
Adakalanya Nabi SAW memanggil Aisyah dengan singkatan manja “Ya Aisy” yang
bermaksud kehidupan ketika mana beliau menyampaikan salam daripada Malaikat
Jibril untuk Aisyah RA. Dengan membuang huruf terakhir itu menunjukkan besarnya
rasa cinta, kemanjaan dan kesayangan yang ditonjolkan dari Nabi SAW.
Sesungguhnya bersikap romantis sesama isteri itu adalah sunnah
Nabi SAW. Kita berharap dengan sunnah ini dapat memupuk ikatan yang lebih erat
antara sesama pasangan. Bukanlah sunnah ini suatu yang perlu dimalukan untuk
diamalkan. Kepada suami, ayuh mengikut petunjuk Nabi dalam berkasih sayang
sesama isteri. Andai isteri berasa pelik dari mana datangnya sikap romantis
seorang suami. Adakah suami baru sahaja selesai menamatkan buku novel cinta
Romeo dan Juliet. Jawablah dengan manja. Romantis ini bukan dari novel biasa,
namun romantis ini datangnya daripada hadis Nabi SAW.
No comments:
Post a Comment