Orang pemaaf diringankan daripada beban sifat
buruk
MEMPUNYAI hati yang bersih,
tidak menyimpan prasangka yang buruk terhadap saudara seinsan tampak mudah,
tetapi itulah yang seringkali sulit dilakukan.
Mungkin kita mampu beribadah
pada waktu malam tetapi amat sulit menghilangkan walau sedikit sifat hasad,
mengata atau bersangka buruk kepada sesama manusia.
Kita lihat bagaimana
Rasulullah saw bersama para sahabat menerima tamparan hebat daripada kaum
Musyrikin Quraisy.
Umat Islam dibunuh, diseksa
dan ditindas, disekat makanan sehingga golongan tua dan anak-anak kecil
kelaparan. Tangisan dan linangan air mata menjadi basahan umat Islam.
Malah, Rasulullah saw sendiri
dihina, dicela, diludah dan pernah dilontar dengan batu. Baginda juga terpaksa
berhijrah bagi menyelamatkan agama Allah.
Namun, apabila Islam
berkembang dan Baginda kembali ke Makkah sebagai penguasa dan pemimpin, Baginda
tidak mengambil sebarang tindak balas.
Maka tidak hairanlah mereka
yang dahulunya pernah memusuhi Baginda akhirnya satu-persatu memeluk agama
Islam, dan seterusnya menjadi penyokong kuat dan tulang belakang perjuangan
Baginda saw.
Allah berfirman: "Maka
dengan sebab rahmat daripada Allah (yakni kepadamu, wahai Muhammad), kamu telah
bersikap lemah-lembut kepada mereka, dan kalaulah kamu bersikap kasar lagi
keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu, maafkanlah mereka,
dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuarahlah dengan mereka dalam
urusan itu. Kemudian, apabila kamu telah berazam (sesudah bermesyuarah), maka
bertawakallah kepada Allah, Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang
bertawakal kepada-Nya." (Ali 'Imran: 159)
Sebagai rumusan, ada dua
pengajaran penting:
Pertama, menjadi seorang yang
pemaaf dan tidak membalas keburukan dengan keburukan.
Seorang Muslim yang bersifat
pemaaf, sebenarnya telah membuang dalam dirinya segala bebanan sifat-sifat
mazmumah atau keburukan seperti hasad, dengki, iri hati, dendam dan lain-lain
lagi.
Maka dengan hilangnya
sifat-sifat buruk tersebut, dirinya akan menjadi ringan dari segala bebanan
tersebut, manakala sifat rohaninya dan cinta untuk membuat kebaikan pula akan
semakin bertambah.
Akhirnya, dia menjadi seorang
insan yang lebih baik, yang seterusnya dikasihi dan dicintai oleh sesiapa
sahaja yang mengenali dirinya.
Kedua, umat yang mengaku
cintakan Nabi ialah mereka yang mencontohi sifat teladan Baginda.
Contohilah akhlak mulia Nabi
secara keseluruhan, iaitu bermula dengan sifat pemaaf dan sikap tidak membalas
keburukan dengan keburukan.
Leraikanlah segala
perselisihan, terutama sesama saudara kita, apatah lagi perselisihan bersama
ibu bapa jika ada.
Sedalam manapun kepedihan
kita, mereka tetap keluarga kita dan ikatan kekeluargaan merupakan sesuatu yang
sangat berharga dan perlu kita raikan bersama.
Semoga kita mencontohi
keperibadian mulia Baginda dan menjadi seorang Muslim yang sentiasa bersikap
pemaaf dan rahmah.
No comments:
Post a Comment