MENGENAI solat sebagai penawar jasmani dan
rohani jelas dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah daripada
Abu Hurairah RA bermaksud: Rasulullah SAW melihatku sedangkan aku tidur
melingkar kerana sakit perut, lalu Baginda berkata, asykam darda? Aku menjawab,
betul wahai Rasulullah SAW. Baginda berkata: “Bangunlah lalu solat, kerana
solat adalah ubat."
Dalam kajian mengenai solat sebagai ubat atau
penawar bagi perut yang sakit, para ulama mengungkapkan sekurang-kurangnya ada
beberapa alasan.
Pertama, urusan Ilahi yang merupakan ibadat.
Kedua, urusan jiwa iaitu kerana jiwa yang merasa sakit terhibur dengan bersolat
dan berkurangan kesedihannya sebelum timbul kekuatan yang mengatasi rasa sakit.
Perlu diketahui bahawa para tabib yang mahir
zaman dahulu melakukan segala usaha untuk memperkuatkan kekuatan jasmani dan
rohani.
Kadang-kadang mereka menguatkan dengan makanan,
kadang-kadang dengan harapan, kadang-kadang dengan rasa takut, sedangkan solat
menghimpun lebih banyak daripada itu. Di dalamnya menimbulkan kepada seseorang
hamba rasa takut, khuatir, harapan, malu, cinta dan ingat akhirat yang dapat
menguatkan stamina serta melegakan dadanya, lalu dengan itu menjadi tertolaklah
penyakit itu.
Menurut Imam az-Zahabi, solat mempunyai manfaat
semula jadi iaitu seperti olahraga jiwa dan olahraga tubuh. Ini kerana solat
menghimpun antaranya berdiri, rukuk, sujud, ketundukan, perkumpulan, ikhlas, ibadat,
merendahkan diri, menghinakan diri dan lain-lain.
Bersamanya bergerak sendi-sendi badan dan
kebanyakan organ tubuh menjadi lunak, terutama perut dan usus serta bantuannya
yang paling kuat dalam mendorong air seni dan menurunkan makanan dari lambung
(perut).
Selain itu, solat berfungsi sebagai penawar dan
ubat seperti diungkapkan oleh al-Muwafaq Abdul Latif al-Baghdadi dalam kitab
Al-Arabain: “Aku sungguh telah melihat sekumpulan mereka yang mempunyai waktu
luang dan kemewahan yang terjaga kesihatannya lalu mencari sebab manfaatnya
itu, maka aku mendapati mereka banyak solat dan tahajud."
Al-Baghdadi juga menyatakan alangkah
bermanfaatnya sujud untuk penderita keadaan lemah fizikal, alangkah kuatnya
bantuan sujud untuk membuka sumbatan hidung, alangkah kuatnya bantuan sujud
mematangkan air seni dan menurunkan makanan dari lambung serta usus, dan
menggerakkan kotoran yang tertahan di dalamnya serta mengeluarkannya.
Sementara itu, Imam az-Zahabi menyatakan,
kebanyakan yang dapat digembirakan oleh solat itu adalah jiwa dan solat dapat
menghilangkan kesedihan.
Solat juga dapat memadamkan api amarah,
menyebabkan suka kepada kebenaran dan sikap merendah diri kepada sesama
manusia, menghaluskan perasaan hati, menganjurkan memberi maaf dan membenci
terhadap perkara yang buruk dan bersifat dendam.
Imam az-Zahabi menyatakan lagi, banyak perkara
yang bermanfaat didapati dalam solat, iaitu berupa fikiran dan pengaturan yang
tepat, jawapan yang benar, membuat seseorang ingat apa yang telah lupa, lalu ia
berfikir tentang sumber-sumber perkara dan jalan-jalannya serta kemaslahatan
dunia dan akhirat.
Solat juga dapat menjadi saranan muhasabah
diri, terutama waktu solat malam (tahajud dan qiamullail), waktu hening sunyi,
di mana kekuatan alam rohani amat memberi manfaat bagi seseorang.
Ibnu Qayyim Rahimahullah dalam Al-Musnad
berkata, bahawa Nabi SAW apabila bersedih kerana suatu perkara, baginda
melalukan solat. Kerana Allah berfirman bermaksud: Ambillah pertolongan
daripada kesabaran dan solat.
Menurut Ibnu Qayyim, manfaat solat juga membawa
rezeki, menjaga kesihatan, mengusir gangguan, menolak penyakit, memperkuat
hati, menyerikan wajah, menyenangkan jiwa, menghilangkan kemalasan, memotivasi
organ tubuh. Juga meningkatkan stamina, melapangkan dada, menyuntik gizi pada
rohani, menyinari jiwa, memelihara kenikmatan, menghilangkan bencana, membawa
berkat, menjauhkan daripada gangguan syaitan dan mendekatkan diri kepada Allah
SWT.
Oleh kerana itu, Ibnu Qayyim menyimpulkan,
bahawa solat mempunyai pengaruh yang ajaib sekali dalam menjaga dan memelihara
kesihatan jasmani dan rohani seseorang serta dapat mengusir segala bentuk unsur
yang membahayakan.
Apabila dua orang yang sama-sama terkena
musibah atau diserang penyakit, bala dan cubaan, pasti yang melakukan solat
akan merasa lebih ringan dan akibat yang dirasakan juga lebih aman dan selamat.
No comments:
Post a Comment